Rabu, 22 Jun 2016

karangan cara-cara mengatasi vandalisme

             Vandalisme  ialah  perbuatan  merosakkan  harta  benda  awam seperti telefon  awam  dan tong sampah. Untuk mengatasi  gejala ini, beberapa  cara dapat  diambil  oleh pihak berkuasa.

             Cara yang pertama ialah  mengadakan  kempen  antivandalisme  melalui poster dan ceramah.  Selain  pihak berkuasa, sekolah  juga perlu lebih aktif dalam mengadakan ceramah kesedaran dan pertandingan yang berkaitan dengan vandalisme.  Ibu bapa pula perlu mendidik anak-anak supaya menghargai kemudahan awam.

             Selain itu,  kamera litar tertutup harus dipasang di tempat-tempat yang sering berlakunya vandalisme. Cara ini akan sedikit banyak dapat menghindari orang yang melakukan vandalisme daripada berbuat demikian.  Jika mereka berbuat demikian, perbuatan mereka akan dirakam dan mereka dapat dikesan serta dibawa ke muka pengadilan.

             Seterusnya, hukuman yang berat harus dikenakan terhadap orang yang melakukan vandalisme.  Hukuman denda sahaja tidak mencukupi.  Mungkin orang yang didapati bersalah atas vandalisme boleh dikenakan hukuman penjara.  Hukuman ini pasti akan menakutkan orang yang kerap melakukan vandalisme.

            Tegasnya, usaha untuk menangani vandalisme tidak harus dipertanggungjawabkan kepada pihak berkuasa sahaja.  Pihak sekolah, ibu bapa, dan orang ramai peru memainkan peranan mereka.

Sabtu, 18 Jun 2016

Contoh Karangan Kebaikan Membaca

                 Membaca merupakan suatu amalan yang mulia. Banyak kebaikan yang dapat diperoleh dengan membaca. Kerajaan menerusi pelbagai kempennya sentiasa menggalakkan masyarakat mengamalkan tabiat suka membaca.

                 Membaca dapat meluaskan pengetahuan kita. Hal ini demikian kerana membaca merupakan jambatan ilmu. Banyak ilmu yang dapat kita peroleh dengan membaca buku, surat khabar, atau novel. Kita juga dapat mengetahui perkara-perkara baru dalam pelbagai bidang ilmu seperti sains, matematik, sejarah, dan sastera.

                Kita dapat mengetahui tentang isu semasa yang berlaku di seluruh dunia. Misalnya masalah kegawatan  ekonomi,  pencemaran alam sekitar,  pergolakan politik,  serangan pengganas, sukan, dan sebagainya. Dengan demikian, kita akan lebih peka terhadap perkembangan semasa dan tidak lagi menjadi seperti katak di bawah tempurung.

                Satu lagi kebaikan membaca ialah kita dapat mengisi masa lapang dengan aktiviti yang berfaedah.  Masa tidak  lagi terbuang begitu sahaja. Menyedari hakikat bahawa masa itu emas,  maka amalan membaca memang  wajar dilakukan setiap kali ada masa terluang.

               Selain itu,  membaca  juga  dapat  meningkatkan pencapaian bahasa dalam  kalangan  murid-murid.  Dengan membaca pelbagai  bahan bacaan berbahasa Melayu dan Inggeris,  murid-murid dapat  menguasai  bahasa tersebut dengan baik.  Mereka juga akan terdedah kepada pelbagai  gaya penulisan seperti berita, rencana, dan cerpen.  Hal ini dapat membantu mereka dalam menulis karangan  yang baik.

              Sikap suka membaca wajar  diamalkan oleh segenap lapisan masyarakat untuk  mencapai  taraf negara maju  menjelang tahun 2020.  Jika tidak,  kita akan jauh  ketinggalan di  belakang dan tidak mampu bersaing  dengan negara-negara lain.